Pages

Saturday, May 1, 2010

Pas lapor polis ugutan bunuh Nik Aziz

02/05/2010
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Pusat semalam membuat laporan polis berhubung kenyataan berbaur ugutan bunuh oleh seorang lelaki dalam laman sosial, Facebook terhadap Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Khamis lalu.

Laporan dibuat Ketuanya, Nasrudin Hassan di Balai Polis Chow Kit, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Nasrudin berkata, beliau menyedari mengenai ugutan terbabit, kelmarin selepas membaca komen seorang lelaki menggunakan nama Mohd Safuan Mohd Hilmi yang ditulis pada malam Khamis lalu.

Katanya, dalam tulisan itu, lelaki terbabit juga dikatakan sanggup dihukum gantung jika dapat membunuh Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

“Dewan Pemuda Pas menganggap ancaman bunuh dalam laman sosial itu sangat serius kerana ia membabitkan ancaman dan soal keselamatan menyebabkan kami mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Zulkarnain Abd Rahman, ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan itu.

Sementara itu, di PENGKALAN CHEPA, Pas Kawasan Pengkalan Chepa semalam turut membuat laporan polis berhubung kenyataan ugutan bunuh yang sama dalam laman sosial Facebook terhadap Nik Aziz.
Laporan dibuat jam 3 petang di Balai Polis Pengkalan Chepa oleh Setiausaha Pas kawasan, Hasan Mamat selepas membaca ugutan itu di laman sosial berkenaan, kelmarin dan meminta polis menyiasat serta mengambil tindakan kerana kenyataan bersifat provokasi dan mengancam keselamatan Menteri Besar Kelantan.

“Sebagai negara demokrasi dan aman, perkara itu tidak sepatutnya berlaku, polis sepatutnya membuat siasatan dan mendakwa penulis terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment